29 Januari 2013 - Harian Metro
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
Wajah comel dan sikap keanakan penyanyi remaja Nor Ashimah Ramli ternyata membawa tuah. Siapa sangka dia berjaya menarik perhatian KRU Music Sdn Bhd sehingga dilamar menjadi artis mereka. Manakala pengurusan pula dikendalikan oleh AICO Empire Group milik Adam AF.
Usaha kerasnya yang sering menyertai pertandingan nyanyian di Johor Bahru dan Kuala Lumpur bagi mencari pendedahan dan pengalaman kini terbalas.
Shima, 19, yang juga Juara Bintang Idola Berita Harian mengakui gembira apabila berpeluang bekerja dengan KRU. Dia teruja apabila Edry, sebagai penerbit albumnya mengambil langkah berani dengan mengubah imej dan menukar namanya kepada Baby Shima.
“KRU sebuah nama besar dan setiap orang pasti akan berasa bangga apabila terpilih bernaung di bawah mereka. Bukan senang nak dapat peluang begini. Apatah lagi saya sering mencuba nasib masuk pelbagai pertandingan nyanyian untuk mencari tapak kukuh dalam nyanyian.
“Saya nampak kesungguhan abang Edry yang mahu memperkenalkan nama saya kepada peminat. Nama saya ditukar supaya lebih komersial manakala lagu saya dihasilkan dalam konsep muzik ‘dance’ sepertimana single lagu saya berjudul Tak Sabar.
“Imej saya dibentuk seperti ‘barbie doll’ yang mirip konsep K-Pop yang ceria. Sebagai remaja saya memang sukakan imej ini kerana ia mengikut trend semasa. Saya sendiri banyak bertanya orang untuk lebih menghidupkan imej ini.
“Sebenarnya tak dinafikan mulanya saya kekok dengan nama baru ini. Bagaimanapun apabila selalu disebut, lama kelamaan nama ini serasi dengan saya,” kata anak keempat daripada enam adik beradik ini.
Shima yang pernah menyertai Kombo RTM Johor Bahru dan Kombo Bandaraya Johor Bahru mengikat kontrak dengan KRU selama setahun. Selain single Tak Sabar, dia sudah merakamkan dua lagu ciptaan Adam untuk albumnya nanti.
“Kalau diikutkan saya sebenarnya suka semua jenis lagu. Bahkan ketika usia belasan tahun, saya pernah aktif dalam genre zapin. Untuk album pertama nanti, saya akan menyanyikan lagu Azmeer, Cat Farish, Tam Spider dan ramai lagi.
“Sebenarnya selain lagu rancak, Abang Edry juga akan tampilkan lagu balada bagi memenuhi kehendak pasaran. Cuma, lagu Tak Sabar berentak happy dan catchy ini dipilih bertujuan supaya saya lebih mudah dikenali peminat.
“Dari aspek tarian pula, saya tak boleh disamakan dengan Stacy kerana kami ada perbezaan. Dia agak agresif manakala konsep tarian saya lebih ceria dan comel,” katanya ketika pelancaran klip video nyanyiannya Tak Sabar baru-baru ini.
Demi mengejar cita-citanya sebagai penyanyi, Shima nekad tidak mahu menyambung pelajaran. Bagaimanapun selepas bergelar artis, dia melihat kerjaya yang dipilihnya itu bukan satu yang mudah.
“Nyanyian adalah minat dan cita-cita saya sejak kecil. Tapi sebaik melangkah masuk ke dalamnya saya berdepan pelbagai kesukaran sepertiperasaan gementar.
“Bagaimanapun saya beruntung kerana mendapat bimbingan dari KRU dan Adam yang banyak memberi galakan dan semangat. Selain daripada masalah ini, saya juga berdepan dugaan apabila berjauhan dengan keluarga yang tinggal di Johor.
“Mereka menasihatkan saya agar sentiasa menjaga nama keluarga. Justerusaya pegang amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. Saya hanya keluar pergi buat persembahan dan selepas itu terus pulang ke rumah,” kata Shima yang tinggal dengan saudaranya.
Gadis yang meminati Agnes Monica ini menolak untuk bercinta kerana mahu memberi tumpuan kepada kariernya. Dia yang dianggap permata baru KRU sudah didatangi tawaran berlakon dan sedang mempertimbangkan tawaran ini sebaiknya sebelum memberikan kata persetujuan.
































